18/07/2024
Alhamdulillah. Tahniah diucapkan kepada semua Penerima Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Wilayah Persekutuan 1446H/2024M
Berikut merupakan senarai penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah sempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/2024M:
A.Tokoh Utama
Tan Sri Abdul Rashid Hussain (77 tahun) merupakan Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan Pengasas Kumpulan RHB Bank. Di bawah kepemimpinan beliau dan pasukannya, Kerajaan Arab Saudi telah menobatkan Malaysia melalui Tabung Haji sebagai penerima Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan pada 19 Jun 2024. Beliau juga terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan seperti wakaf pembangunan masjid dan pusat kebajikan bagi golongan asnaf.
B.Anugerah Khas Kategori Pendakwah
Cik Nur Ain Sumaiyah@Sumitra binti Valaitham (32 tahun) merupakan Eksekutif Unit Outreach Hidayah Centre Foundation. Beliau juga merupakan pembimbing Kursus Intensif Fardu Ain (KIFA) mualaf di Kompleks Darul Hidayah, Jalan Sentul. Beliau terlibat sebagai pasukan penyelidik bersama bagi kajian “Metode Interaksi Non Muslim dengan Al - Quran dan Tafsirannya” dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf JAWI (2023-2025). Beliau adalah bekas penganut agama Hindu kemudian memeluk agama Islam pada usia 18 tahun dan mula berjinak-jinak mendalami ilmu agama Islam semenjak usia 8 tahun.
C.Anugerah Khas Kategori Korporat
Encik Hafiz Oon Jun Seong (34 tahun) merupakan Pengurus Syarikat Mr Bentong World Trading. Beliau adalah seorang mualaf yang membangunkan perniagaan produk minuman kesihatan sekaligus menjadi Pembayar Zakat di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) bernilai RM5 juta pada tahun 2023. Beliau juga pernah tersenarai dalam “Top 100 Young CEO” pada tahun 2023.
D.Anugerah Khas Kategori Ilmuwan
Dr. Asmawati binti Muhamad (44 tahun) merupakan Pensyarah Kanan Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau pernah bekerjasama dengan JAWI bagi menjayakan projek Green Mosque di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan pada 24 April 2022. Beliau banyak terlibat dalam projek penyelidikan berkaitan pembangunan Masjid Hijau di dalam dan luar negara.
E.Anugerah Khas Kategori Pengurusan Masjid
Tuan Haji Mohd Aizul bin Adnan (50 tahun) merupakan Pengerusi Masjid Zaid bin Haritsah, Jalan Gombak Kuala Lumpur. Beliau pernah mengetuai Program Korban Luar Negara dan Pemberian Sumbangan Al-Quran, Sumbangan Tunai Bagi Program Telaga & Baikpulih Infrastruktur Jalan Raya di Selatan Thailand dan Kemboja. Turut terlibat sebagai Pegawai Pasukan Bomba Sukarela serta menggerakkan projek dan program komuniti meliputi aktiviti khairat kematian, keagamaan, pertanian dan ekonomi. Di bawah kepemimpinan beliau dan pasukannya, Masjid Zaid bin Haritsah pernah menerima penarafan 2 Diamond dalam Program Rumah Ibadah Hijau di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta menganjurkan Program Mahabbah Tahun Baru Cina untuk memperkenalkan fungsi masjid dan Islam kepada golongan bukan Islam.