16/04/2026
Dulu, tanda seorang hamba itu dimiliki adalah pada lehernya. Sama ada dipasang kolar besi atau diikat dengan tali seperti haiwan ternakan.
Hari ini, leher kita nampak kosong, pakai kemeja kemas atau tudung yang cantik tapi dik, hakikatnya leher kita sedang DIJERUT oleh sistem yang kita panggil KEMODENAN.
Allah selalu ulang bagitahu kita dalam Surah Yasin, ayat 8,
إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلَالًا فَهِيَ إِلَى الْأَذْقَانِ فَهُم مُّقْمَحُونَ
"Sesungguhnya Kami pasangkan belenggu (rantai) pada leher mereka, lalu tangan mereka (terangkat) ke dagu, maka kerana itu mereka TERTENGADAH."
Ayat ini menceritakan tentang orang kafir di akhirat, tapi kalau kita lihat secara metafora dalam kehidupan hari ini, sistem dunia sedang melakukan perkara yang sama.
Kalau kita nak guna bahasa yang paling santai dalam konteks sistem hari ini, perkataan tertengadah (dari bahasa arab muqmahuun) itu boleh kita terjemahkan sebagai dengan beberapa makna.
1. Tercekik atau mendongak kaku.
Bayangkan leher kau kena jerut dengan kolar besi yang sangat tebal sampai dagu kau tertolak ke atas.
Kau tak boleh nak tunduk dan kau tak boleh nak pandang bawah, tanda sedar diri.
Kau jadi kaku dan tak boleh nak buat apa-apa. Sistem loan dan gaya hidup ni buat kau mencekik sampai kau tak sempat nak fikir pasal akhirat sebab sibuk nak nafas cari duit bayar hutang.
2. Terbelenggu sampai tak boleh menoleh.
Ini yang paling tepat dengan naratif control. Bila kau tertengadah, pandangan kau jadi terhad. Kau cuma boleh pandang satu arah saja dik, iaitu arah yang sistem tu nak kau pandang macam kerjaya, pangkat, wanita atau harta.
Kena kuncup mata kau, macam kuda lumping yang dipasang penutup mata supaya dia jalan lurus je ikut cakap tuan dia.
Kau dah tak nampak jalan keluar lain. Kau rasa hidup ni memang kena kerja-hutang-bayar-mati. Tu je.
3. Keras kejong. Bahasa lain sombong dalam terpaksa.
Secara fizikal, orang yang tertengadah ni nampak macam orang sombong sebab dagu dia tinggi. Tapi hakikatnya, dia bukan sombong sebab dia hebat, tapi sebab leher dia dah kena kunci.
Senang cakap kau kena ikat mati dik. Kita rasa kita hebat dengan kereta baru, tapi sebenarnya kita kejong tak boleh bergerak sebab kalau berhenti kerja sebulan, hancur hidup.
Itu maksudnya tertengadah dalam sistem ni dik. Kau nampak gah kat luar, tapi sebenarnya terseksa sebab tak bebas. No freedom in life.
Ringkasnya, tertengadah itu pada pandangan Abang, kondisi di mana kau dah tak ada pilihan nak menoleh atau tunduk, sebab TALI SISTEM tu dah tarik leher kau sampai tegang.
Sistem pendidikan, kerjaya kita, loan dan riba tu adalah sebahagian kolar besi yang buat kita tertengadah.
Kita nampak macam memandang masa depan, padahal kita sebenarnya tengah terjerut dalam sistem yang mengikut seumur hidup kita.
Menarik kan macam mana Al-Quran guna istilah begini untuk gambarkan keadaan mental kita?
Sistem hari ini tak perlu lagi ikat kita denfan rantai besi untuk buat kau tertengadah tak boleh menoleh ke kiri atau kanan.
Mereka cuma perlu jerut leher kau.
Kau nak tempat berteduh, kau kena serah leher pada bank selama 30 tahun. Setiap bulan, jerutan itu makin kuat. Kau tak boleh berhenti kerja, kau tak boleh rehat, sebab taliitu dipegang oleh sistem hutang.
Belum campur kad kredit. Kau bijak, kau selamat. Kau boros dan bongkak, kau menempah tamak.
Sama juga dengan sistem pendidikan, kita belajar bukan lagi untuk kenal Allah, kenal agama, kenal akhlak atau jadi manusia berguna, tapi untuk jadi ALAT dalam dunia korporat.
Kita diikat dengan angan-angan masa depan cerah yang sebenarnya adalah perhambaan masa dan usia dari 9 to 5 demi membayar hutang tadi.
Kerja adalah ibadah.
Memang betul bila kita niatkan kerana Allah.
Tapi berapa ramai hari ni yang bekerja kerana DUIT?
Kita diikat dengan naratif bahawa satu tandard lifestyle itu mesti tinggi dan berjenama. Kalau tak ada fesyen tak ada identiti, kalau tak pakai barang branded kau dianggap low class.
Orang pandang kau atas bawah, atas bawah.
Kau p**a kena tunjukkan siapa kau pada mausia.
Tunjuk dengan apa?
Dengan kereta, henpon, pakaian, baju dan seluar, jam.. bag sekolah anak pun jadi barang nak tunjuk status sosial kau.
Bila leher kau dah terikat dengan naratif ni, mereka tak payah pun nak suruh kau diam.
Kau sendiri yang akan diamkan prinsip kau, diamkan solat kau dan diamkan maruah kau semata-mata nak pastikan tali di leher kau tak ditarik kuat oleh majikan atau bank.
Malah seluruh masyarakat akan menjadi manusia yang sentiasa tarik menarik tali yang ada kat leher kau.
Islam datang untuk memerdekakan manusia. Dalam Surah Al-Balad (ayat 12-13), Allah tanya kita dik.
وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ . فَكُّ رَقَبَةٍ
"Dan tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? (Iaitu) membebaskan hamba (fakk-u raqabah)."
Dulu, fakku raqabah bermaksud memerdekakan hamba abdi. Tapi hari ini, ia juga bermaksud memerdekakan leher kita sendiri daripada jerutan sistem ciptaan manusia.
Bebaskan leher daripada belenggu riba dengan hidup bersyukur.
Bebaskan leher daripada naratif "apa orang kata" dengan mencari "apa Allah kata".
Jangan biarkan diri kita jadi seperti haiwan ternakan yang hanya menurut ke mana tali ditarik.
Ingat, Nabi berpesan sungguh-sungguh pada kita.
"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kaya jiwa (qana'ah)." (HR. Bukhari & Muslim)
Sistem dunia nak kau rasa miskin supaya kau terus jadi hamba mereka. Tapi Allah nak kau rasa kaya dengan ilmuNya supaya kau jadi hambaNya yang merdeka.
Jangan biarkan mereka definisikan hidup kau.
Biar al-quran yang definisikan siapa kau.
Terima kasih kerana baca sampai habis. Memang sengaja tulis panjang, share sebagai satu usaha untuk kita selamatkan diri dan keluarga dari belenggu sistem manusia.
Selamat berbuka puasa.
Shauqi Hasan
Belajar dari apa yang terjadi pada umat di zaman firaun 3500 tahun.